CROESO - Selamat Datang

ABOUTPenceunant.jpg

Penceunant Isaf ialah sebuah kafe pejalan kaki yang menjanjikan suasana ramah mesra, terletak di lereng Snowdon kira-kira seratus meter dari Hotel Royal Victoria di Laluan Llanberis.

Di sini, layanan mesra menanti setiap pengunjung, begitu juga peluang untuk berkenalan dengan mereka yang sealiran. Kami menyajikan teh dan kopi, sider mul dan wain, dan coklat panas, selain bir keluaran tempatan. Menu makanan agak terhad tetapi anda boleh membawa snek sendiri untuk dinikmati bersama secawan teh. Perhatian: Ini BUKAN kafe dan pusat pelawat di puncak Snowdon.

SC_View.jpg

Tentang Snowdon

Snowdon atau Yr Wyddfa dalam bahasa Welsh, merupakan gunung tertinggi di Wales dengan ketinggian 1085 meter dari paras laut. Gunung ini dikatakan yang paling sibuk di Britain – anda pasti tahu jika pernah berkunjung ke Penceunant Isaf pada waktu puncak.

Laluan utama adalah seperti berikut – mengikut arah jam dari Llanberis:

Laluan Llanberis

Laluan ini ialah yang paling panjang, tetapi dianggap paling mudah kerana cerunnya agak landai. 

Trek Pyg

Trek Pyg bermula di tempat letak kereta Pen-y-pas dan menuju ke Bwlch y Moch di sebelah timur Crib Goch.

Trek Pelombong

Trek ini juga bermula di tempat letak kereta Pen-y-pas dan merupakan laluan paling popular ke puncak Snowdon.

Laluan Watkin

Laluan ini dianggap jalan paling mencabar menuju ke puncak.

Laluan Rhyd Ddu

Laluan ini kadang kala dipanggil Laluan Beddgelert. Laluan ini bermula dari kampung Rhyd Ddu.

Laluan Renjer Snowdon

Laluan Renjer Snowdon bermula dari A4085 di hostel belia bersebelahan dengan Llyn Cwellyn, berhampiran Stesen Kereta Api Renjer Snowdon.

Snowdon dengan menaiki Kereta Api

Kereta Api Gunung Snowdon yang dibina pada 1894, bukan sahaja cara untuk ke puncak Snowdon, malah sendirinya satu tarikan buat pelancong.

Di Puncak

Bangunan pertama di puncak Snowdon dibina seawal 1838. Sebuah stesen dan kafe dibina pada pertengahan 1930-an mengikut rekaan Sir Clough Williams-Ellis, pereka kampung bercirikan Itali di Portmeirion. Pada 2006, bangunan itu digantikan dengan bangunan Hafod Eryri yang berdinding dan beratap batu loh yang dapat dilihat pada hari ini.

Fasiliti di puncak Snowdon TIDAK dibuka sepanjang tahun, dan kafe kecil di Halfway House dibuka sepanjang musim dan adakalanya pada hujung minggu sewaktu luar musim. Rumah Teh Penceunant Isaf dibuka 365 hari setahun.

SC_Rail.jpg

Untuk Sampai ke Sana

Bas


Perkhidmatan bas tempatan tersedia antara Llanberis dengan Caernarfon, Bangor, dan Betws-y-Coed melalui Capel Curig. Ada juga bas Sherpa yang beroperasi secara ulang-alik di sekeliling Snowdon, mengambil dan menurunkan penumpang di permulaan setiap laluan utama.

Kereta Api

Kereta api biasa boleh dinaiki dari London, Midlands dan Barat Laut England merentasi pantai Utara Wales, ke Bangor dan menuju ke arah Anglesey, kemudian tiba di Holyhead untuk sambungan feri ke Ireland.

Selain Kereta Api Gunung Snowdon yang membawa penumpang ke puncak Snowdon, ada juga sebuah laluan kecil iaitu Kereta Api Tasik Llyn Padarn Llanberis yang bertolak dari sekitar Hotel Victoria di Llanberis menuju ke Muzium Batu Loh dan mengelilingi Llyn Padarn. Kereta Api Tanah Tinggi Welsh beroperasi dari Caenarfon ke Beddgelert dengan perhentian di sesetengah laluan di sebelah barat Snowdon, kemudian ke Porthmadog. Di sana, anda boleh menaiki Kereta Api Ffestiniog hingga ke hujung laluan di  Blaenau Ffestiniog. Anda juga boleh menyempurnakan kunjungan dengan perjalanan pergi balik dari Caernarfon ke Porthmadog hingga ke Blaenau Ffestiniog, kemudian menerusi laluan utama ke Persimpangan Llandudno, akhirnya pulang ke Caernarfon dengan menaiki bas.

SC_Ice.jpg

Cuaca

Cuaca di Snowdon berubah dari bulan ke bulan, hari ke hari, malah setiap jam dan minit. Jika merancang untuk mendaki, wajarlah dapatkan ramalan cuaca yang tepat di laman web ini atau pada papan notis di luar Kafe Penceunant, sumbangan daripada Taman Negara dan Khidmat Maklumat Cuaca Gunung.

Suhu di puncak mungkin jauh lebih rendah daripada di paras kaki gunung. Sila bersiap sedia untuk segala kemungkinan.

ICE2.jpg

Keselamatan

Pergunungan Snowdon tempat yang cukup sesuai untuk berjalan kaki, tetapi persediaan secukupnya adalah perlu.

Sentiasa awasi ramalan cuaca – bukan hanya cuaca di puncak yang cepat berubah.

Sama ada berjalan seorang diri atau berkumpulan, sentiasa bawa peralatan asas – semuanya boleh didapati di kedai-kedai luar di sekitar pergunungan.

Sebahagian besar trek berlekuk-lekak dan curam, jadi kasut but yang sesuai adalah perlu – elakkan memakai selipar atau kasut yang nipis.

Jika boleh, bawa peta dan kompas, kot dan seluar kalis air, pakaian panas, serta makanan dan air minum.

Beberapa lapis pakaian nipis lebih baik daripada selapis tebal. Jika merancang berjalan lama, anda mungkin perlu membawa minuman panas, wisel, lampu suluh dengan bateri dan mentol ganti, topi dan sarung tangan bulu terutamanya pada musim sejuk, topi, krim penghalang matahari dan cermin mata hitam.

Ramai yang tersandung kerana tanah berlekuk-lekak – dan itu perkara biasa di Snowdon, walaupun di laluan yang lebih elok. Lebih baik bawa sekali alat pertolongan cemas.

Pastikan anda tahu laluan yang dipilih, termasuk jalan untuk turun semula. Jika anda berjumpa laluan lain, pastikan anda tahu jalan balik ke kereta atau hotel. Bas yang berulang-alik sekitar gunung tidak beroperasi pada waktu malam.

Jika boleh, beritahu rancangan kepada kawan, dan maklumkan kepulangan anda.

Sesetengah tempat di gunung ini tiada isyarat telefon, bermakna GPS mungkin tidak sekata!

Jangan lupa bawa kamera!